Sunday, 13 December 2015

Peranan Wanita dan Sumbangan Mereka dalam Ilmu Hadis pada Zaman Sahabat dan Tabien

Islam sangat menitikberatkan soal ilmu pengetahuan dalam kehidupan insan. Ayat pertama dalam Surah Al-Alaq : "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan Mu yang menciptakan (sekalian makhluk)" ditujukan kepada seluruh umat manusia termasuk kaum wanita yang tidak dinafikan mempunyai peranan yang cukup besar dalam masyarakat.

Islam menuntut kaum wanita agar mempelajari ilmu tentang rukun islam, tauhid, dan lain-lain ilmu yang diperlukannya dalam urusan seharian. Oleh itu, para sahabat-sahabat dari kalangan wanita merasakan keperluan ini sehinggalah mereka datang kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam lalu meminta agar diadakan majlis ilmu khas untuk mereka sahaja.

Daripada Abu Said al-Khudri beliau berkata :" Seorang wanita datang kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam lalu berkata : Kaum lelaki (para sahabat) sudah biasa datang kepadamu untuk mempelajari hadis, maka peruntukkanlah kepada kami suatu hari agar kami boleh datang dan kamu boleh ajarkan kami ilmu yang telah Allah ajarkan padamu. Lalu baginda bersabda : Berkumpullah kalian pada hari sekian-sekian pada tempat sekian-sekian, lalu mereka pun berkumpul dan baginda mengajarkan mereka apa yang telah Allah ajarkan pada baginda." (Sahih Bukhari no 6766)

Hasil dari kesungguhan mereka inilah lahirnya para muhaddithat (ulama hadith dari kalangan wanita). Ini kerana mereka bukan setakat mempelajarinya sahaja malah mengajarkan dan menyampaikan pula ilmu dan hadis tersebut kepada orang lain.


[Ummahatul Mukminin dan Periwayatan Hadis]

Ummahatul Mukminin iaitu isteri-isteri Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah antara mereka yang paling terserlah dalam hal ini. Ini kerana mereka selalu mendampingi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam hidup mereka. Aisyah radhiallahu anha umpamanya meriwayatkan begitu banyak hadis dari baginda sallallahu alaihi wasallam. Dengan usia yang muda dan kecerdasan yang dianugerahkan Allah kepada beliau, jumlah hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 2210 hadis. Beliau dinobatkan sebagai wanita yang paling faqih secara mutlak.
Aisyah merupakan antara Ummahatul Mukminin yang terakhir meninggal dunia. Ini membolehkan para sahabat seumpama Abu Bakar, Umar, Abu Hurairah dan para tabien seumpama Masruq, Said bin al-Musayyib, Sya'bi dan juga Mujahid mengambil ilmu daripada beliau.
Selain beliau, Ummahatul Mukminin yang lain turut meriwayatkan sejumlah hadis yang banyak dari baginda sallallahu alaihi wasallam. Mereka adalah :

1. Ummu Salamah
Hadis yang diriwayatkan oleh beliau mencecah 378 hadis. 13 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

2. Maimunah
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 76 hadis. 31 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 7 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

3. Habibah binti Abi Sufyan.
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 65 hadis. 29 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 2 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

4. Hafsah binti Umar
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 60 hadis. 28 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 4 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

5. Zainab binti Jahsy
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 11 hadis. 5 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 2 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

6. Safiyyah binti Huyay
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 10 hadis. 1 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

7. Juwairiyah binti al-Harith
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 7 hadis. 4 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. 3 daripadanya ada dalam sahih Bukhari dan Muslim.

8. Saudah binti Zam'ah
Hadis yang diriwayatkan beliau mencecah 5 hadis. 2 daripadanya terdapat dalam Kutub al-Sittah. Satu daripadanya dalam Sahih Bukhari.

Ini menunjukkan bahawa Ummahatul Mukminin merupakan elemen penting dalam periwayatan hadith. Tanpa mereka, nescaya banyak hadis yang tidak akan sampai kepada kita.

[Muhaddithat dari kalangan Sahabiyyat]
Para Muhaqqiqin (pengkaji) berbeza pendapat tentang jumlah perawi dari kalangan sahabat. Al-Hakim umpamanya menyebutkan bahawa bilangan mereka mencapai 4000 orang. Namun Al-Zahabi menyatakan mereka ini berjumlah sekitar 1500 orang sahaja.

Berdasarkan kiraan dalam Kitab Baqiy bin Makhlad, jumlah mereka adalah sekitar 1858 orang. 1642 daripadanya adalah sahabat manakala 216 terdiri dari kalangan sahabiyat. Namun menurut Dr Akram al-Umari, jumlah yang disebutkan oleh Al-Zahabi adalah lebih tepat.

Termasuk dalam jumlah 216 ini adalah Ummahatul Mukminin seramai 9 orang yang sudah disebutkan tadi.
Antara sahabiyat yang meriwayatkan puluhan hadis ada 9 orang (tak termasuk Ummahatul Mukminin) :

1. Asma' binti Yazid bin al-Sakan : 81 hadis
2. Asma' binti Umais : 60 hadis
3. Asma' binti Abu Bakr : 58 hadis
4. Ummu Hani' binti Abi Talib : 46 hadis
5. Ummu Atiyyah : 40 hadis
6. Fatimah binti Qais : 34 hadis
7. Ummu al-Fadhl binti Al-Harith : 30 hadis
8. Ummu Qais binti Mihsan : 24 hadis
9. Al-Rabie binti Muawwiz : 21 hadis
Selain mereka ini, ada juga sahabiyat yang meriwayatkan belasan hadis. Antaranya :

1. Fatimah binti Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : 18 hadis
2. Khaulah binti Hakim : 15 hadis
3. Ummu Sulaim binti Milhan : 14 hadis
Manakala yang lain masing-masing meriwayatkan hadis kurang daripada jumlah tersebut. Saya tidak menyebutkan nama-nama mereka kerana jumlah mereka agak ramai.


[Muhaddithat dari kalangan Tabien]

Muhaddithat dari kalangan wanita Tabien tidak begitu ramai memandangkan mereka yang hidup pada kurun pertama lebih cenderung untuk terus mengambil riwayat daripada kalangan Sahabiyat yang masih hidup.

Antara Muhaddithat yang masyhur dari kalangan tabien adalah seperti berikut :
1. Khairah iaitu Ibu kepada Hasan Al-Basri
2. Zainab binti Ka'b bin Ujrah (isteri Abu Said Al-Khudri)
3. Safiyyah binti Abi Ubaid bin Mas'ud (isteri Abdullah bin Umar)
4. Zainab binti Nabit (isteri Anas bin Malik)
5. Umm Kalthum binti Abu Bakr al-Siddiq


[Sumbangan Wanita terhadap Sahih Bukhari]

Wanita juga mempunyai sumbangan yang besar terhadap Sahih Bukhari. Kisah lanjut mengenai sumbangan mereka boleh didapati dalam kitab-kitab al-Tarajum, al-Masyikhat dan juga al-Athbat.
Dr Muhammad bin Azuz telah mengumpulkan sumbangan-sumbangan mereka ini dalam karyanya bertajuk Safahat Musyriqah min Inayah al-Mar'ah bi Sahih al-Bukhari.
Kaum wanita telah mendengar hadis dari ahli hadith terkemuka seumpama Ibn al-Zubaidi, khususnya para wanita yang mendengar hadis di Darul Hadis al-Asyrafiyyah. Antaranya ialah Fatimah binti Abdul Hadi al-Maqdisiyyah (wafat 803 h) yang merupakan guru kepada al-Hafiz Ibn Hajar. Contoh yang lain adalah seumpama Karimah al-Marwaziyyah yang merupakan wanita pertama yang mempelajari Sahih Bukhari pada kurun ke 5 hijrah. Begitu juga Sitt al-Wuzara' yang merupakan wanita pertama yang datang ke Mesir untuk mengajarkan Sahih al-Bukhari.


[Jumlah Periwayatan Wanita dalam Hadis]

Berdasarkan sumber-sumber yang digunapakai oleh al-Mizzi dan juga Ibn Hajar, di sana terdapat 2764 hadis yang diriwayatkan oleh wanita dalam Kutub al-Sittah. 2539 daripadanya adalah dari kalangan Sahabiyyat. Manakala 225 lagi adalah daripada bukan Sahabiyyat.
Daripada jumlah 2539 hadis yang diriwayatkan oleh Sahabiyyat, sebahagian besarnya adalah daripadanya riwayat Aisyah yang mencecah dua ribu lebih. Jumlah hadis riwayat Aisyah dalam Sahih Bukhari dan Muslim mencecah 297 hadis.
Bilangan muhaddithat (dari kalangan sahabiyyat) yang meriwayatkan hadis dalam Kutub al-Sittah adalah seperti berikut :

1. Sahih Bukhari : 31 hadis
2. Muslim : 36 hadis
3. Sunan Abu Daud : 75 hadis
4. Sunan Tirmizi : 46 hadis
5. Sunan Nasaie : 65 hadis
6. Sunan Ibn Majah : 60 hadis


[Wanita dan Bermusafir dalam Menuntut Hadis]

Seperti yang kita ketahui, wanita banyak terikat dengan urusan dalam rumahtangga. Mereka juga ada banyak kekangan untuk bermusafir kerana mereka mesti ditemani mahram dan sebagainya. Namun ini tidak menghalang mereka daripada bermusafir untuk mempelajari hadis.

Umpamanya Ummu Atiyyah yang bermusafir ke Basrah lalu menetap di Bani Khalaf kemudian terkenal dengan keluasan ilmu dan riwayatnya dalam hadis di sana. Ummul Mukminin Habibah juga meriwayatkan hadis di Syam ketika mana menziarahi saudaranya iaitu Khalifah Muawiyah.

Begitu juga Qailah binti Makhramah al-Anbariyyah yang datang untuk berbaiah kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam bersama Bani Bakr bin Wail.

Wanita islam pada kurun pertama hijrah menggunakan peluang ketika waktu haji untuk mendengar hadis dari Ummahatul Mukminin. Contohnya Ummu Salim binti Malik al-Basriyyah, seorang tabiin yang meriwayatkan hadis daripada Aisyah. Disebutkan dalam kitab Tahzib al-Tahzib bahawa Ummu Salim berihram dari Basrah (ke Mekah) 17 kali.

Disebutkan juga bahawa Jasrah binti Dajajah, seorang tabiin yang thiqah meriwayatkan hadis daripada Abu Dzar. Dikisahkan bahawa beliau melakukan umrah lebih kurang sebanyak 40 kali. Ini merupakan antara gambaran rehlah ilmiyyah mereka untuk menuntut hadis.


[Wanita dan Sumbangan Mereka dalam Naqd al-Hadis]

Naqd menurut istilah para muhaddithin adalah membezaka hadis yang sahih dari hadis yang dhaif dan memberikan hukum ke atas periwayat hadis dari sudut tauthiq dan juga tajrih.

Antara yang menonjol dalam bidang naqd ini ialah Aisyah radhiallahu anha. Beliau membetulkan riwayat para sahabat yang tersalah dalam meriwayatkan sesuatu hadis. Antara riwayat yang dibetulkan oleh Aisyah adalah hadis yang diriwayatkan oleh Umar, Ibn Abbas, Abdullah bin Amru Al-'As, Abu Hurairah dan lain-lain.

Umpamanya hadis yang diriwayatkan oleh Umar yang menyebutkan bahawa mayat akan diseksa dalam kubur jika ia ditangisi ahli keluarganya. Aisyah menegur Umar dan mengatakan bahawa hadis yang sebenar ialah :"Sesungguhnya Allah menambahkan azab kepada orang Kafir yang ditangisi oleh ahli keluarganya". Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah taala dalam surah Al-An'aam ayat 164 : "Seseorang itu tidak memikul dosa perbuatan orang lain".

Al-Zarkasyi ada menulis satu kitab khas yang membincangkan tentang pembetulan dan teguran Aisyah terhadap riwayat para sahabat dalam kitabnya bertajuk : Istidrakat Aisyah ala al-Sahabah.

Antara jaguh dalam naqd dalam kalangan mutakhirin adalah Hamidah binti Muhammad binti Syams al-Din yang wafat pada tahun 1078 hijrah. Beliau ada melakukan tahqiq ke atas kitab-kitab hadis.

[Wanita dan Sumbangan Mereka dalam Penulisan Hadis]

Penulisan wanita terutamanya dalam bidang hadis agak sedikit berbanding lelaki. Antara contoh mereka yang menulis ialah Al-Muhaddithah Fatimah binti Muhammad bin Ahmad al-Samarqandi yang telah menulis dalam bidang hadis dan juga fiqh. Begitu juga Hamidah binti Muhammad binti Syams al-Din yang mempunyai tahqiq ke atas kitab-kitab hadis.

Ibn al-Zubair turut nenyatakan bahawa Amaturrahman meriwayatkan daripada ayahnya Ibn Atiyyah lalu menulis kitab seumpama Al-Qubur dan Al-Muhtadhirin.

[Karya dalam al-Muhaddithat]
Antara karya yang terkemuka dalam al-Muhaddithat adalah karya Dr Akram Nadwi dari Universiti Oxford yang mengumpulkan seramai 8000 orang Muhaddithat dalam buku beliau yang berjumlah sebanyak 40 jilid itu.

Antara karya besar lain ialah Kitab Inayah al-Nisa' bi al-Hadis al-Nabawi karya Syeikh Masyhur bin Hasan Alu Salman. Kitab ini menceritakan sumbangan wanita dalam ilmu hadis dari kurun pertama hingga kurun ke 13 hijrah.

Ada juga karya-karya penting lain seumpama :
1. Juhud al-Mar'ah fi Riwayah al-Hadis fi al-Qarn al-Thamin al-Hijri karya Dr Salih Yusuf

2. Juhud al-Mar'ah al-Dimasyqiah di Riwayah al-Hadis al-Syarif karya Dr Muhammad bin Azuz

3. A'lam al-Nisa karya Ustaz Umar Ridha Kahalah

4. Takmilah A'lam al-Nisa' karya Ustaz Muhammad Khair Ramadhan

5. Tarajum al-Muhaddithat min al-Tabiiyyat wa Marwiyyatuhunna fi al-Kutub al-Sittah karya Aliah Abdullah Muhammad
Berdasarkan fakta-fakta di atas, ternyata sumbangan dan peranan wanita terhadap ilmu hadis begitu besar dan tidak dapat disangkal lagi. Peninggalan mereka ini merupakan khazanah yang cukup besar buat kita. Moga Allah merahmati mereka semua. Saya doakan moga kita dikumpulkan bersama mereka di syurga sana.

Jika ada kesalahan dari sudut fakta dan sebagainya, mohon maklumkan pada saya.

Sumber :
1. Juhud al-Mar'ah fi Nasyr al-Hadis wa Ulumihi oleh Dr Afaf Abdul Ghafur Hamid
2. Daur al-Mar'ah wa Juhuduha fi Ilm al-Hadis fi Ahd al-Sahabah wa al-Tabien oleh Dr Abdullah Ata' Umar
3. Masyikhah al-Nisa' karya al-Sayyid Nuruddin Musa
Usaid Subki,
Madinah al-Munawwarah
Ahad, 13 Disember 2015.
12.11 PM.


No comments:

Post a Comment