Friday, 25 December 2015

Terpesona melihat kekayaan orang

BARU -baru ini, saya bawa isteri dan anak-anak hadir sebuah majlis di rumah sepasang suami isteri.

Rumah mereka besar agam, deretan kereta mewah ‘berdedam’ (berdedam adalah istilah masyarakat di Utara Semenanjung bermaksud banyak dan bersusun). Apa yang dipertontonkan bukan sekadar kekayaan tetapi kemewahan.

Kejiranan tempat tinggal mereka juga bukan sembarangan, terkenal sebagai kawasan residensi eksklusif untuk golongan kaya lagi ternama di pinggir ibu kota.

Melihat semua itu, bertanyalah oleh saya dalam hati: “Mengapa aku tidak kaya seperti mereka, sedangkan aku pun kerja kuat juga...!”

Ya, saya akui, itu bukanlah pemikiran yang baik. Saya boleh jatuh berdosa kerana mempersoalkan takdir tuhan ke atas diri saya. Tetapi jujurnya, iman saya memang tidak cukup kuat untuk menghalang diri daripada terfikir hal yang seperti itu melihat kemewahan mereka ada dan begitu menggoda.

Pasangan itu pula dari segi usia jauh lebih muda berbanding saya, malah yang isteri itu pun saya tahu latar belakangnya. Dia orang biasa – macam saya juga - bukanlah berasal daripada keluarga kaya-raya dan pendidikannya pun tidaklah setinggi mana.

Suaminya pula, walaupun baru pertama kali jumpa, saya dapat jangka, dia bukanlah orangnya yang mempunyai kebolehan luar biasa, walaupun dari segi sembang, bunyinya memang luar biasa. Tetapi melihat gaya hidup mereka yang boleh dikira luar biasa, saya berasa seperti tidak puas hati kepada diri sendiri.

Mengapa saya tidak kaya seperti mereka? Kekayaan nampaknya begitu sombong untuk mendekati saya walaupun sudah lama saya bekerja keras untuk maju dalam hidup!

Apabila terfikir mengenai kekayaan dan kesenangan, kadang kala saya berasa diri saya bersalah kerana gagal untuk membawa isteri dan anak-anak keluar daripada lingkaran kehidupan yang biasa-biasa ini kepada hidup yang senang lagi mewah seperti keluarga kenalan saya itu.

Masakan tidak, pembantu rumah mereka tiga empat orang sedangkan si isteri tidak bekerja. Isteri saya pula, keluar rumah awal pagi, pulang sudah senja dan dalam keletihan setiap hari terpaksa pula menguruskan hal ehwal rumah tangga sendiri – dan seorang diri - tanpa orang gaji.

Ya, saya memang tidak berupaya untuk mengelak daripada menyalahkan diri sendiri kerana sememangnya sejak lama, itulah antara impian saya, mahu memberikan isteri kelegaan hidup melalui perkahwinannya dengan saya, bukan memberikan dia beban. Tetapi apakan daya, saya tiada upaya kerana tidak kaya?

Bagaimanapun, memangnya Tuhan yang maha mengasihani masih mahu menginsafkan saya, tidak mahu saya terus tersesat dalam pusaran ‘hubbudunya’.
Beberapa minggu lalu, terpampang di media, dua wajah yang saya memangnya kenal. Mereka itulah kenalan yang saya kunjungi tidak lama dahulu.

Rupa-rupanya mereka yang saya sangka kaya-raya dengan hasil berniaga, kini jadi buruan orang merata-rata. Ikut cerita yang dilaporkan media, si suami itu putar alam kerjanya. Beberapa orang termasuk individu terkenal, tampil di media mengaku jadi mangsa penipuannya.

Apabila terpecah cerita itu, dia dikatakan lari ke luar negara.

Melihat itu, saya kira ini pengajaran yang sempurna Tuhan berikan kepada saya. Biarlah tidak kaya, asalkan hidup jangan huru-hara.

Saya menyoal diri, apa lagi yang saya hendak sebenarnya jika masih tidak berpuas hati dengan nikmat yang dilalui sekarang ini?

Walaupun tidak kaya wang dan harta, hidup saya bahagia, malah boleh dikira sempurna. Saya ada isteri yang menyedapkan mata dan tidak menggusarkan jiwa. Setianya tidak terkata, cintanya hanya untuk saya sahaja!

Kesetiaan isteri amat penting bagi mana-mana lelaki. Hidup kita bahagia dengan isteri yang setia, walaupun tidak kaya.
Anak-anak pula, Alhamdulillah... sihat walafiat kesemuanya, tiada sakit yang membuat saya terpaksa menyengkang mata. Mereka juga mendengar kata, patuh adab dan beragama. Belajar pun, syukurlah, bagus-bagus adanya!

Harta dan wang ringgit, walaupun tidak banyak, tetapi cukup untuk hidup, makan pakai seadanya. Barang kemas isteri, walaupun sekadar beli di Pekan Simpang Empat Kangkong, tidak pernah pula dia merungut atau mencuka wajahnya!
Jadi, apa lagi yang saya hendak sebenarnya?

Tuhan sudah beri segala yang saya perlukan, ada masa untuk agama, jarak masjid dengan rumah pun sepelaung sahaja.

Hanya mata hati saya yang buta, dibutakan oleh pandangan nafsu dunia. Saya mungkin boleh kaya, tetapi kalau hidup huru-hara, apa gunanya?

Kebahagiaan menuju jalan pulang, itu lebih utama. Saya insaf!

- Muhamad Mat Yakim


No comments:

Post a Comment