Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda
ﺇِﻥَّ ﺃَﻛْﺜَﺮَ ﻋَﺬَﺍﺏِ ﺍﻟْﻘَﺒْﺮِ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﺒَﻮْﻝِ
“Kebanyakan adzab kubur itu berpunca dari air kencing.” (Musnad Ahmad, no. 9060. Sunan Ibnu Majah, no. 348. Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 653)
Dalam riwayat yang lain, dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda
: ﺍﺳْﺘَﻨْﺰِﻫُﻮﺍ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﺒَﻮْﻝِ ﻓَﺈِﻥَّ ﻋَﺎﻣَّﺔَ ﻋَﺬَﺍﺏِ ﺍﻟْﻘَﺒْﺮ ِ ﻣِﻨْﻪُ
“Bersihkanlah diri dari kencing, kerana kebanyakan adzab kubur disebabkan olehnya.” (Sunan Ad-Daruquthni, no. 464)
Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata
: ﻣَﺮَّ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲُّ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﺑِﺤَﺎﺋِﻂٍ ﻣِﻦْ ﺣِﻴﻄَﺎﻥِ ﺍﻟﻤَﺪِﻳﻨَﺔِ، ﺃَﻭْ ﻣَﻜَّﺔَ، ﻓَﺴَﻤِﻊَ ﺻَﻮْﺕَ ﺇِﻧْﺴَﺎﻧَﻴْﻦِ ﻳُﻌَﺬَّﺑَﺎﻥِ ﻓِﻲ ﻗُﺒُﻮﺭِﻫِﻤَﺎ، ﻓَﻘَﺎﻝَ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲُّ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ : » ﻳُﻌَﺬَّﺑَﺎﻥِ، ﻭَﻣَﺎ ﻳُﻌَﺬَّﺑَﺎﻥِ ﻓِﻲ ﻛَﺒِﻴﺮٍ « ﺛُﻢَّ ﻗَﺎﻝَ : » ﺑَﻠَﻰ، ﻛَﺎﻥَ ﺃَﺣَﺪُﻫُﻤَﺎ ﻻَ ﻳَﺴْﺘَﺘِﺮُ ﻣِﻦْ ﺑَﻮْﻟِﻪِ، ﻭَﻛَﺎﻥَ ﺍﻵﺧَﺮُ ﻳَﻤْﺸِﻲ ﺑِﺎﻟﻨَّﻤِﻴﻤَﺔِ «
“Nabi Shallallahu ‘alahi wa Sallam pernah melalui berhampiran salah satu kebun di Madinah atau Makkah, lalu beliau terdengar suara dua orang yang di-adzab di dalam kubur mereka. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata:
“Mereka berdua sedang diadzab. Tidaklah mereka berdua itu di-adzab kerana perkara yang besar (rumit).” Kemudian beliau berkata lagi, “Benarlah, salah seorang daripada mereka tidak menjaga dari kencingnya manakala seorang lagi sering melakukan namimah (mengadu-domba) ke sana ke mari.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 216)
Manakala Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) menyebutkan:
ﻗَﻮْﻟُﻪُ : » ﻭَﻣَﺎ ﻳُﻌَﺬَّﺑَﺎﻥِ ﻓِﻲ ﻛَﺒِﻴﺮَﺓٍ « ﻣَﻌْﻨَﺎﻩُ : ﺃَﻧَّﻬُﻤَﺎ ﻟَﻢْ ﻳُﻌَﺬَّﺑَﺎ ﻓِﻲ ﺃَﻣْﺮٍ ﻛَﺎﻥَ ﻳَﻜْﺒُﺮُ، ﻭَﻳَﺸُﻘُّﻌَﻠَﻲْﻫِﻤَﺎ ﺍﻻﺣْﺘِﺮَﺍﺯُ ﻋَﻨْﻪُ، ﻷَﻧَّﻪُ ﻟَﻢْ ﻳَﻜُﻦْ ﻳَﺸُﻖُّ ﻋَﻠَﻴْﻬِﻤَﺎ ﺍﻻﺳْﺘِﺘَﺎﺭُ ﻋِﻨْﺪَ ﺍﻟْﺒَﻮْﻝِ، ﻭَﺗَﺮْﻙُ ﺍﻟﻨَّﻤِﻴﻤَﺔِ ،
“Sabda Nabi, “Tidaklah mereka berdua itu diazab kerana perkara yang besar…” maknanya: Bahawa mereka tidak diadzab pada urusan yang besar (rumit) sehingga menjadikan mereka sukar untuk menghindarinya, tetapi adalah kerana mereka melalaikan perkara yang sebenarnya tidak sukar berupa menjaga diri dari air kencing dan meninggalkan namimah (adu-domba).” (Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi, 1/371)
Dalam lafaz yang lain di Shahih Al-Bukhari dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
ﻳُﻌَﺬَّﺑَﺎﻥِ، ﻭَﻣَﺎ ﻳُﻌَﺬَّﺑَﺎﻥِ ﻓِﻲ ﻛَﺒِﻴﺮٍ، ﻭَﺇِﻧَّﻪُ ﻟَﻜَﺒِﻴﺮٌ، ﻛَﺎﻥَ ﺃَﺣَﺪُﻫُﻤَﺎ ﻻَ ﻳَﺴْﺘَﺘِﺮُ ﻣِﻦَ ﺍﻟﺒَﻮْﻝِ، ﻭَﻛَﺎﻥَ ﺍﻵﺧَﺮُ ﻳَﻤْﺸِﻲ ﺑِﺎﻟﻨَّﻤِﻴﻤَﺔِ
“… Mereka berdua sedang diadzab, dan tidaklah mereka di-adzab kerana perkara yang besar (rumit), sedangkan itu termasuk dosa yang besar. Bahawa salah seorang dari mereka tidak menjaga diri dari kencing (atau ketika kencing), dan yang seorang lagi kerana suka membuat namimah (mengadu-domba) ke sana ke mari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6055)
Dalam riwayat dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu diShahih Ibnu Hibban, beliau berkata:
“Kami berjalan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui dua kubur, lalu beliau berhenti. Maka kami pun berhenti bersamanya. Tiba-tiba raut wajah Rasulullah berubah warnanya sehingga kelihatan bergetar. Kami pun bertanya, “Kenapa dengan engkau wahai Nabi Allah?”
Rasulullah pun bersabda, “Tidakkah engkau mendengar apa yang aku dengar?” Kami bertanya, “Ada apa dia wahai Nabi Allah?” Rasulullah pun bersabda, “Kedua penghuni kubur ini sedang di-adzab dengan adzab yang keras di dalam kuburnya kerana dosa yang dianggap remeh.”
Kami bertanya, “Apa kesalahan mereka wahai Nabi Allah?” Rasulullah bersabda, “Salah seorang dari mereka tidak menjaga kebersihan dari sisa air kencingnya, manakala yang seorang lagi menyakiti manusia dengan lisannya dan suka berbuat namimah (adu domba) sesama manusia.” (Shahih Ibnu Hibban, no. 824)
Faedah hadis-hadis:
1, Hadis ini menjelaskan tsabitnya adzab kubur sekaligus menjadi bantahan atas kelompok sesat muktazilah yang mengingkari kewujudan adzab dan nikmat kubur.
2, Kebanyakan adzab kubur disebabkan oleh permasalahan kencing, yakni tidak menjaga diri ketika kencing, atau dari air kencing.
3, Hadis-hadis ini memberi peringatan agar menjaga adab ketika kencing dan menjaga diri di saat kencing (yakni dengan kencing di tempat yang betul dan tertutup). Termasuk adab tersebut adalah meninggalkan perbuatan kencing dalam keadaan berdiri kecuali pada keadaan yang tidak dapat dielakkan, kerana ianya akan lebih mudah dalam menjaga diri dari air kencing.Dan padanya Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata
ﺇِﻥَّ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﺠَﻔَﺎﺀِ ﺃَﻥْ ﺗَﺒُﻮﻝَ ﻭَﺃَﻧْﺖَ ﻗَﺎﺋِﻢٌ
“Sesungguhnya, termasuk perbuatan yang buruk adalah membuang air kencing dalam keadaan berdiri.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 12)
4, Pada hadis-hadis ini juga terkandung peringatan agar kita sentiasa memastikan kebersihan diri dari kesan-kesan atau sisa-sisa air kencing, khasnya pada tubuh atau pakaian. Termasuk padanya adalah berhati-hati dari percikannya dan pentingnya menjaga kebersihan tempat membuang air kencing (tandas).
5, Hadis tersebut menjelaskan bahawa salah seorang yang disiksa di dalam kuburnya tersebut adalah kerana menganggap remeh permasalahan kencing sehingga dia tidak menjaga atau membersihkan dirinya dengan betul dari kencing, sedangkan ia termasuk perkara yang besar.
6, Hadis-hadis ini sekaligus menjelaskan kenajisan air kencing dan kewajiban menyucikan diri darinya dengan betul, melainkan bagi mereka yang memiliki udzur seperti sakit sehingga sukar untuk membersihkannya dengan sempurna, namun tetap perlu mengawalnya.
7, Pada hadis ini juga terkandung larangan berbuat namimah (mengadu domba).
Wallaahu a’lam.
Rujukan: Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi,
Syarh Shahih Muslim oleh Al-Imam An-Nawawi,
Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari oleh Ibn Hajar Al-‘Asqalani,
Dan Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani rahimahumullah.
- Ghuraba Media
No comments:
Post a Comment