Sunday, 13 December 2015

“Orang kata Wahabi ialah mereka yang menolak perayaan hari kelahiran Nabi (maulid).”

Penjelasan:
Jika demikian takrifan Wahabi, maka Imam Asy-Syafi’e (204H) dan para ulamak Syafi’iyyah selain beliau ialah Wahabi. Ini kerana, mereka bukan sahaja tidak pernah meraikan perayaan maulid bahkan menghukumnya sebagai perbuatan yang bid’ah di sisi ajaran agama.
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani Asy-Syafi’e rahimahullah (852H) berkata sebagaimana nukil Al-Hafiz As-Suyuthi rahimahullah di dalam kitabnya Al-Hawi Fil Fatawa jilid 1, ms. 196:
ﺃﺻﻞ ﻋﻤﻞ ﺍﻟﻤﻮﻟﺪ ﺑﺪﻋﺔ، ﻟﻢ ﺗﻨﻘﻞ ﻋﻦ ﺃﺣﺪ ﻣﻦ ﺍﻟﺴﻠﻒ ﺍﻟﺼﺎﻟﺢ ﻣﻦ ﺍﻟﻘﺮﻭﻥ ﺍﻟﺜﻼﺛﺔ .
Maksudnya:
“Hukum asal perayaan maulid itu adalah bid’ah dan hal itu tidak pernah dicontohkan oleh para ulamak Salafus Shalih yang hidup pada tiga abad yang pertama.”
Sementara itu, salah seorang pembesar mazhab Syafi’e iaitu Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitami Asy-Syafi’e rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya Al-Fatawa Al-Haditsiyyah:
ﻭﻣﺎ ﻳﻔﻌﻠﻪ ﻛﺜﻴﺮ ﻋﻨﺪ ﺫﻛﺮ ﻣﻮﻟﺪﻩ ﻭﻭﺿﻊ ﺃﻣﻪ ﻟﻪ ﻣﻦ ﺍﻟﻘﻴﺎﻡ ﺑﺪﻋﺔ ﻟﻢ ﻳﺮﺩ ﻓﻴﻬﺎ ﺷﻲﺀ .
Maksudnya:
“Adapun apa yang dirayakan oleh kebanyakan orang ketika hari kelahiran Nabi dan saat ibunda baginda melahirkannya, maka hal itu adalah perbuatan bid’ah dan tidak ada satu pun dalil yang mendasari perbuatan tersebut sama sekali.”
Selanjutnya perhatikan pula ungkapan salah seorang ulamak Syafi’iyyah mengenai hukum perayaan maulid iaitu Syeikh Ja’far at-Tazmanti asy-Syafi’e rahimahullah (682H), katanya:
ﻫﺬﺍ ﻟﻔﻌﻞ ﻟﻢ ﻳﻘﻊ ﻓﻲ ﺍﻟﺼّﺪﺭ ﺍﻷﻭَّﻝِ ﻣﻦ ﺍﻟﺴﻠﻒِ ﺍﻟﺼﺎﻟﺢ ﻣﻊ ﺗﻌﻈﻴﻤﻬﻢ ﻭﺣﺒِّﻬﻢ ﻟﻪ – ﺃﻱ : ﻟﻠﻨّﺒِﻲِّ – ﺇِﻋْﻈِﻴْﻤًﺎ ﻭَﻣَﺤَﺒَّﺔً ﻟَﺎ ﻳَﺒْﻠُﻎُ ﺟﻤﻌﻨﺎ ﺍﻟﻮﺍﺣﺪ ﻣﻨﻬﻢ .
Maksudnya:
“Perbuatan (perayaan maulid) ini tidak pernah dicontohkan pada masa (kurun) pertama dari masa para ulama Salafus Shalih, padahal mereka adalah orang yang paling besar pengagungan dan rasa cintanya kepada baginda (Rasulullah) dan tidak ada seorang pun dari kita yang mampu untuk menandingi bagaimana besarnya pengagungan dan rasa cinta mereka (para sahabat) kepada baginda.” - Lihat Subul al-Huda wa al-Rasyad Fi Sirati Khair al-‘Ibad 1/441-441.
SETERUSNYA, HUJAH LAZIM PERAYAAN MAULID NABI & JAWAPAN
[Soalan #1]:
“Abu Lahab yang kafir pun diringankan azabnya oleh Allah lantaran kegembiraannya menyambut kelahiran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu bagaimana pula jika umat Islam yang menyambutnya? Sudah tentulah Allah akan mengurniakan ganjaran yang lebih besar bagi sesiapa yang menyambut perayaan Maulid Nabi.”
Jawapan:
Abu Lahab bukanlah dalil dalam agama sehingga yang demikian perbuatannya dijadikan dalil bagi mensyariatkan apa yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sekadar bergembira dengan kelahiran Nabi sahaja tidaklah memadai. Akan tetapi hendaklah kegembiraan itu dizahirkan dengan cara mengikuti ajaran yang dibawanya, mengamalkan serta menyampaikannya kepada orang lain. Selain itu hendaklah berusaha mempertahankan ketulenan ajarannya daripada ditokok tambah dan diubah suai oleh golongan yang gemar kepada syirik dan bid’ah.
Kembali kepada Abu Lahab, bukankah setelah itu dia menolak ajaran Islam yang cuba disampaikan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepadanya? Berdasarkan ini, apakah cukup sekadar menzahirkan kegembiraan menyambut kelahiran baginda, tetapi pada waktu yang sama enggan mengikuti syariat yang dibawa bersamanya?
Tepuklah dada, tanyalah iman.
[Soalan #2]
“Kalau begitu, adakah salah untuk kami menzahirkan rasa gembira terhadap kelahiran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam? Apakah kamu tidak menyukai kelahiran insan yang termulia ini?”
Jawapan:
Tiada seorang jua dalam kalangan umat Islam yang tidak bergembira dengan kelahiran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melainkan hanyalah orang-orang kafir dan fasiq. Bergembira itu tidaklah salah, silakan.
Namun apa yang menjadi persoalan di sini adalah, mengapakah kegembiraan itu dizahirkan dengan cara yang bercanggah dengan perintah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam agar jangan keterlaluan dalam memuji dan menyanjungi baginda? Apakah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam redha apabila umatnya melakukan hal yang bercanggah dengan ajarannya?
Persoalan kedua, mengapakah kegembiraan sahaja yang kalian zahirkan tetapi tidak menzahirkan rasa kesedihan atas pemergian baginda? Bukankah di dalam bulan yang sama juga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah wafat meninggalkan kita umatnya? Mengapakah kalian tidak bersedih di atas musibah yang amat besar ini? Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
ﺇِﺫَﺍ ﺃَﺻﺎﺏَ ﺃَﺣَﺪَﻛُﻢْ ﻣُﺼِﻴْﺒَﺔً ﻓَﻠْﻴَﺬْﻛُﺮْ ﻣُﺼِﻴْﺒَﺘَﻪُ ﺑِﻲْ، ﻓَﺈِﻧَّﻪُ ﺃَﻋْﻈَﻢُ ﺍﻟﻤَﺼَﺎﺋِﺐِ .
Apabila salah seorang dari kamu ditimpa musibah maka ingatlah musibah kehilangan diriku kerana itu merupakan musibah yang besar. [Hadis riwayat ath-Thabrani. Lihat Shahih al-Jami’, no. 347]
Amatlah benar ucapan Syaikh Muhammad Abdus Salam Khidir asy-Syuqairi rahimahullah (1352H):
ﻓﻲ ﻫﺬﺍ ﺍﻟﺸﻬﺮ ﻭﻟﺪ، ﻭﻓﻴﻪ ﺗﻮﻓﻲ، ﻓﻠﻤﺎ ﺫﺍ ﻳﻔﺮﺣﻮﻡ ﺑﻤﻴﻼﺩﻩ ﻭﻻ ﻳﺤﺰﻧﻮﻥ ﻟﻮﻓﺎﺗﻪ؟
Pada bulan ini baginda dilahirkan dan baginda juga wafat pada bulan yang sama. Maka mengapa mereka bergembira memperingati kelahiran baginda namun mereka tidak bersedih untuk memperingati kewafatan baginda? [as-Sunan wa al-Mubtada’at, ms. 128]
[Soalan #3]
“Bukankah Ibnu Taimiyyah sebagai tokoh rujukan utama kaum Wahhabi sendiri membolehkan sambutan perayaan Maulid Nabi?”
Jawapan:
Apa yang benar adalah beliau menyatakan bahawa perayaan Maulidur Rasul itu adalah perkara yang bid’ah di sisi agama. Beliau berkata setelah menyenaraikan beberapa amalan yang tidak memiliki asasnya daripada ajaran Islam, termasuklah perayaan Maulid Nabi:
ﻓﺈﻧﻬﺎ ﻣﻦ ﺍﻟﺒﺪﻉ ﺍﻟﺘِﻲ ﻟﻢ ﻳﺴﺘﺤﺒﻬﺎ ﺍﻟﺴﻠﻒ ﻭﻟﻢ ﻳﻔﻌﻠﻮﻫﺎ ﻭﺍﻟﻠﻪ ﺳﺒﺤﺎﻧﻪ ﻭ ﺗﻌﺎﻟﻰ ﺃﻋﻠﻢ .
Maka sesungguhnya semua itu termasuk dari perbuatan bid’ah yang tidak disukai oleh para ulamak Salaf, dan mereka juga tidak pernah melaksanakannya. Wallahu Subhanahu wa Ta’ala a’lam. [Majmu’ al-Fatawa, 25/298]
Dalam kitab yang sama, beliau menegaskan bahawa perayaan Maulid Nabi yang diada-adakan oleh umat Islam hari ini merupakan perombakan terhadap agama Allah. Katanya:
ﻭﻫﺬﺍ ﺗﻐﻴﻴﺮ ﻟﺪﻳﻦ ﺍﻟﻠﻪ ﻭﺗﺒﺪﻳْﻞ ﻟﻪ . ﻭﻫﻜﺬﺍ ﺍﻟﻘﻮﻝ ﻓﻲ ﻟﻴﻠﺔ ﺍﻟﻤﻮﻟﺪ ﻭﻏﻴﺮﻫﺎ .
Dan hal ini merupakan perombakan terhadap ajaran agama Allah dan demikian juga kita katakan terhadap (sambutan) malam Maulid dan selainnya (dari amalan-amalan yang tidak ada dasarnya di sisi sunnah yang sahih).
Menerusi kitabnya yang lain, beliau sekali lagi menegaskan bahawa:
ﻓﺈﻥ ﻫﺬﺍ ﻟﻢ ﻳﻔﻌﻠﻪ ﺍﻟﺴﻠﻒ ﻣﻊ ﻗﻴﺎﻡ ﺍﻟﻤﻘﺘﻀﻲ ﻟﻪ ﻭﻋﺪﻡ ﺍﻟﻤﺎﻧﻊ ﻓﻴﻪ، ﻭﻟﻮ ﻛﺎﻥ ﺧﻴﺮ ﻣﺤﻀﺎ ﺃﻭ ﺭﺍﺟﺤﺎ، ﻟﻜﺎﻥ ﺍﻟﺴﻠﻒ ﺃﺣﻖ ﺑﻪ ﻣﻨﺎ، ﻓﺈﻧﻬﻢ ﻛﺎﻧﻮﺍ ﺃﺷﺪ ﻣﺤﺒﺔ ﺍﻟﺮﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻣﻨﺎ، ﻭﻫﻢ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﺨﻴﺮ ﺃﺣﺮﺹ .
Maka sesungguhnya hal ini (perayaan Maulid Nabi) tidak pernah dilakukan oleh para Salaf, padahal ada faktor pendorong untuk mereka merayakannya dan tidak ada penghalangnya. Dan kalaulah (perayaan Maulid Nabi) baik nescaya para ulamak Salaf lebih berhak merayakannya daripada kita kerana mereka amat mencintai Rasulullah daripada kita. Mereka lebih rakus mengerjakan kebaikan. [Iqtidha’ as-Shirath al-Mustaqim 2/123]
[Soalan #4]
“Bukankah terdapat dalam kalangan para ulamak Ahlus Sunnah wal Jama’ah sendiri yang membolehkan sambutan perayaan Maulid Nabi?”
Jawapan:
Benar bahawa terdapat beberapa ilmuan yang membolehkan perayaan Maulid Nabi. Namun:
1) Setiap daripada mereka tidak membawakan satu pun dalil yang sahih baik daripada al-Qur’an, as-Sunnah mahupun atsar para sahabat yang menganjurkan amalan tersebut. Oleh yang demikian, besar kemungkinan fatwa mereka yang membolehkan perayaan Maulid Nabi hanyalah merupakan pendapat peribadi mereka sahaja. Justeru, pendapat mereka ini terbuka kepada pilihan; sama ada ia diterima atau pun ditolak. Berkata Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi’e dan Imam Ahmad rahimahullah, para Imam Ahlus Sunnah wal Jama’ah:
ﻟَﺎﻳَﺤِﻞُّ ﻟِﺄَﺣَﺪٍ ﺃَﻥْ ﻳُﻔْﺘﻲ ﺑِﻜَﻠَﺎﻣِﻨَﺎ ﺃَﻭْ ﻳَﺄْﺧُﺬُ ﺑِﻘَﻮْﻟِﻨَﺎ ﻣَﺎ ﻟَﻢْ ﻳَﻌْﺮِﻑُ ﻣِﻦْ ﺃَﻳْﻦَ ﺃَﺧَﺬْﻧَﺎ .
Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk memberi fatwa dengan kata-kata kami atau berpegang dengan kata-kata kami selagi dia tidak mengetahui dari mana kami mengambil kata-kata tersebut. [al-Jami’ al-Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih karya Ibnu ‘Abdil Barr, 1/91]
Imam Malik rahimahullah berkata:
ﻛُﻞُّ ﺃَﺣَﺪٍ ﻳُﺆْﺧَﺬُ ﻣِﻦْ ﻗَﻮْﻟِﻪِ ﻭَﻳُﺘْﺮَﻙُ، ﺇِﻟَّﺎ ﺻَﺎﺣِﺐُ ﻫَﺬَﺍ ﺍﻟْﻘَﺒْﺮِ .
Setiap manusia boleh diikuti perkataannya dan juga boleh ditinggalkan kecuali penghuni kuburan ini (iaitu Rasulullah). [Siyar A’lam al-Nubala oleh adz-Dzahabi 8/93]
2) Selain itu, pandangan mereka yang membolehkan sambutan perayaan Maulidur Rasul hendaklah dilihat dari sisi ia merupakan perayaan sosial, bukannya perayaan dalam agama yang wajib dibangunkan di atas nas-nas syarak. Amatlah mustahil untuk kita beranggapan para ulamak tersebut sengaja menyelisihi hadis Rasulullah yang menetapkan perayaan agama dalam Islam hanyalah tiga sahaja, iaitu ‘Eid al-Fithri , ‘Eid al-‘Adha dan hari Jumaat. Dari Anas bin Malik radhiallahu’anhu berkata:
ﻗَﺪِﻡَ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲُّ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﻭَﻟِﺄَﻫْﻞِ ﺍﻟْﻤَﺪِﻳْﻨَﺔِ ﻳَﻮْﻣَﺎﻥِ ﻳَﻠْﻌَﺒُﻮْﻥَ ﻓِﻴْﻬِﻤَﺎ ﻓِﻲْ ﺍﻟْﺠَﺎﻫِﻠِﻴَّﺔِ، ﻓَﻘَﺎﻝَ : ﻗَﺪِﻣْﺖُ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢْ ﻭَﻟَﻜُﻢْ ﻳَﻮْﻣَﺎﻥِ ﺗَﻠْﻌَﺒُﻮْﻥَ ﻓِﻴْﻬِﻤَﺎ ﻓِﻲْ ﺍﻟْﺠَﺎﻫِﻠِﻴَّﺔِ، ﻭَﻗَﺪْ ﺃَﺑْﺪَﻟَﻜُﻢُ ﺍﻟﻠﻪُ ﺑِﻬِﻤَﺎ ﺧَﻴْﺮًﺍ ﻣِﻨْﻬُﻤَﺎ : ﻳَﻮْﻡُ ﺍﻟﻨَّﺤْﺮ ﻭَﻳَﻮْﻡُ ﺍﻟْﻔِﻄْﺮِ .
Ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam datang ke Kota Madinah, penduduk Madinah memiliki dua hari untuk bersenang gembira pada waktu jahiliah, lalu baginda bersabda: “Saya datang kepada kamu sedangkan kamu memiliki dua hari raya untuk bergembira pada masa jahiliah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik (iaitu) ‘Eid al-‘Adha dan ‘Eid al-Fithri. [Hadis riwayat an-Nasa’i dalam Sunan an-Nasa’i, no. 959 dan Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, no. 1134]
Imam Ibnu Hibban, Imam Ahmad dan selainnya meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi bersabda:
ﻟَﺎﺗَﺼُﻮْﻣُﻮْﺍ ﻳَﻮْﻡَ ﺍﻟْﺠُﻤُﻌَﺔِ ﻓَﺈِﻧَّﻪُ ﻳَﻮْﻡُ ﻋِﻴْﺪٍ ﺇِﻟَّﺎ ﺃَﻥْ ﺗَﺼِﻠُﻮْﻩُ ﺑِﺄَﻳَّﺎﻡٍ .
Janganlah kamu berpuasa pada hari Jumaat kerana ia merupakan hari raya, kecuali kamu menyambungnya dengan hari-hari berikutnya.
Bukti lain yang menunjukkan bahawa Jumaat adalah hari perayaan bagi kaum Muslimin adalah hadis berikut, di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda ketika berlakunya pertembungan hari Jumaat dengan ‘Eid al-Fithri atau ‘Eid al-‘Adha:
ﺍﺟْﺘَﻤَﻊَ ﻋِﻴْﺪَﺍﻥِ ﻓِﻲْ ﻳَﻮْﻣِﻜُﻢْ ﻫَﺬَﺍ، ﻓَﻤَﻦْ ﺷَﺎﺀَ ﺃَﺟْﺰَﺃَﻩُ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﺠُﻤُﻌَﺔِ ﻭَ ﺇِﻧَّﺎ ﻣُﺠَﻤِّﻌُﻮْﻥَ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ .
Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini. Maka sesiapa yang mahu, ia boleh tidak mengerjakan solat Jumaat. Sesungguhnya kami Insya Allah akan mengerjakannya. [Hadis riwayat Ibnu Majah dalam Shahih Sunan Ibnu Majah, no. 1083]
Berdasarkan paparan hadis di atas, maka jelaskan tidak ada perayaan agama dalam Islam melainkan tiga perayaan yang disebutkan di atas. Oleh itu, tidak boleh bagi sesiapa pun selepas kewafatan Rasulullah dan setelah terputusnya wahyu Allah untuk mensyariatkan apa-apa perayaan baru yang diatasnamakan ajaran Islam melainkan hendaklah dia membawakan dalilnya. Mari kita imbas kembali peringatan Imam Malik terdahulu:
ﻣَﻦِ ﺍﺑْﺘَﺪَﻉَ ﻓِﻲ ﺍﻟْﺈِﺳْﻠِﺎﻡِ ﺑِﺪْﻋِﺔً ﻳَﺮَﺍﻫَﺎ ﺣَﺴَﻨَﺔً، ﻓَﻘَﺪْ ﺯَﻋَﻢَ ﺃَﻥَّ ﻣُﺤَﻤَّﺪًﺍ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﺧَﺎﻥَ ﺍﻟﺮِّﺳَﺎﻟَﺔَ، ﻟِﺄَﻥَّ ﺍﻟﻠﻪَ ﻳَﻘُﻮْﻝُ : ‏( ﺍﻟْﻴَﻮْﻡَ ﺃَﻛْﻤَﻠْﺖُ ﻟَﻜُﻢْ ﺩِﻳْﻨَﻜُﻢْ ‏) ﻓَﻤَﺎ ﻟَﻢْ ﻳَﻜُﻦْ ﻳَﻮْﻣَﺌِﺬٍ ﺩِﻳْﻨًﺎ، ﻓَﻠَﺎ ﻳَﻜُﻮْﻥُ ﺍﻟْﻴَﻮْﻡَ ﺩِﻳْﻨًﺎ .
Sesiapa yang membuat bid’ah (perkara baru) dalam Islam yang dia menganggapnya sebagai hasanah (baik), maka sesungguhnya dia telah menuduh bahawa Muhammad telah berkhianat di dalam (menyampaikan) risalah (Islam yang diamanahkan kepadanya). Kerana sesungguhnya Allah telah berfirman: Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu. Maka apa-apa yang tidak menjadi (bahagian dari) agama pada hari itu, nescaya tidak akan menjadi (bahagian dari) agama pada hari ini. [al-I’tisham karya Imam asy-Syathibi 1/49]
Tidak syak lagi bahawa Maulid Nabi yang dianggap sebagai perayaan agama oleh sebahagian umat Islam hari ini bukanlah perayaan yang disyariatkan oleh agama yang dibawa oleh junjungan kita tercinta, Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Dengan demikian, ia juga bukanlah perayaan agama untuk selamanya.
[Soalan #5]
“Meskipun tidak ada dalil yang mensyariatkan perayaan Maulid Nabi, namun bukankah ia suatu yang baik untuk disambut oleh umat Islam? Tambahan lagi terdapat sebuah atsar daripada Ibnu Mas’ud radhiallahu’anhu bahawa beliau berkata: Apa yang dilihat baik oleh umat Islam maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah?.”
Jawapan:
Sama ada baik atau buruk sesuatu amalan yang disandarkan ke atas ajaran Islam, hendaklah ia didasarkan oleh wahyu daripada al-Qur’an dan as-Sunnah Nabi yang sahih, bukannya akal dan hawa nafsu manusia semata. Berhati-hatilah dalam menetapkan suatu hukum dalam agama kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi amaran kepada mereka yang suka berbicara mengenai agama Islam tanpa sebarang dalil daripada wahyu-Nya:
Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “ini halal dan ini haram” untuk mengadakan suatu yang dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia) dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. [Surah an-Nahl, ayat 116-117]
Firman-Nya lagi:
Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. [Surah al-Mukminun, ayat 71]
Kalaulah perayaan Maulid Nabi ini baik, pastilah Nabi, para sahabat dan para imam mazhab terlebih dahulu melaksanakannya.
Adapun perkataan Ibnu Mas’ud radhiallahu’anh
u, ia adalah riwayat yang sahih (disahihkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 4465) tetapi diletakkan pada tempat yang salah. Penulis mengatakan demikian kerana:
1) Jika ditinjau dari sisi sebab atau peristiwa yang melatari atsar tersebut, beliau berbicara mengenai isu perlantikan Abu Bakar sebagai khalifah, bukannya berkaitan anjuran untuk mencipta model ibadah dan perayaan baharu dalam agama.
2) Ibnu Mas’ud radhiallahu’anhu yang empunya perkataan itu sendiri tidak menyambut perayaan Maulid Nabi dan tidak juga menganggapnya sebagai suatu yang baik di sisi ajaran Islam. Wallahu a’lam.
[Soalan #6]
“Tetapi bukankah ramai umat Islam yang menyambut perayaan Maulid Nabi?.”
Jawapan:
Islam tidak pernah menetapkan ramainya pelaku sesuatu amalan sebagai bukti ia berada di atas landasan yang benar. Di sisi ajaran Islam, benar atau salah sesuatu amalan hendaklah diukur berdasarkan dalil, bukannya kuantiti. Adapun dalil yang dimaksudkan adalah hujah yang bersumberkan daripada al-Qur’an dan as-Sunnah Nabi yang sahih, sejalan dengan kefahaman dan amalan generasi Salafus Soleh, khususnya para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’in.

- Ghuraba Media


No comments:

Post a Comment