Tuesday, 9 April 2019

Apa Tips Faham Ilmu Dan Melekat Dalam Kepala?

Baca Berulang Kali Muka Surat Yang Sama

1. Antara tips bagaimana untuk kita memahami sesuatu bahan bacaan. Kita hendaklah menelaah dan membacanya berulang kali. Misalnya kita berulang kali membaca muka surat yang sama. Ulamak silam ada yang membaca satu kitab itu selama 50 tahun lamanya.

2. Hal ini terjadi kepada Imam Muzani yang merupakan murid Imam Syafie. Imam Muzani berkata:

قرأت الرسالة خمسمائة مرة ما من مرة الا واستفدت منها فائدة جديدة

"Aku telah membaca kitab al-Risalah karangan Imam Syafie sebanyak 500 kali, tidaklah  tiap kali membacanya melainkan aku akan mendapat faedah yang baru daripadanya"

3.  Sebab itulah, yang kita pentingkan daripada pembacaan kita adalah manfaat dan input yang akan kita peroleh daripadanya. Bukanlah sekadar menghabiskan pembacaan sahaja. Imam Muzani berkata:

أنا انظر في الرسالة خمسين سنة

"Aku meneliti kitab al-Risalah karangan Imam Syafie selama 50 tahun"

4. Untuk mendapatkan sesuatu perkara itu, ia berhajat kepada penelitian dan kesabaran yang tinggi. Ada insan yang mana dalam satu muka surat, dia dapat menemui 10 input yang baru. Ada pula orang yang baca muka surat yang sama, tetapi tidak mampu mendapat apa-apa.  Bacaannya tidak melekat di jiwa dan minda.

5. Selain itu, setiap input yang kita dapat, perlu dicatat dan disalin. Jika tidak, ia akan berlalu pergi begitu sahaja diibaratkan layang-layang yang terputus talinya di udara.

Imam Syafie berkata:

الْعلْم صيْد والْكتابة قيْده قيّدْ صيوْدك بالجبال الْواثقه

"Ilmu itu seperti binatang buruan, dan tulisan adalah diibaratkan seperti pengikatnya (penambatnya), ikatlah buruanmu dengan tali yang kuat"

(Diwan al-Syafie, 103)

Sebab itu pen sangat penting. Ia merupakan teman buat pencinta ilmu. Hal ini kerana ia adalah jalan kepada pengikat sesuatu ilmu.

6. Selain pembacaan yang berkualiti, kita berhajat kepada guru faqeh yang membimbing kita. Alexender The Great, seorang yang mahsyur dan terkenal dalam sejarah peradaban dunia, siapa kah gurunya sebelum beliau terkenal? Beliau berguru dengan Aristotle.

Demikian Imam Ghazali, beliau berguru dengan Imam Haramain. Imam Ibnu Qayyim berguru dengan Syaikh Islam Ibn Taimiyah.

Guru yang faqeh dan teknik pembacaan yang berkesan, akan melahirkan individu yang hebat.

-Ustaz Amir Farhan

No comments:

Post a Comment