*Jagalah Allah, Allah akan menjaga kamu*
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمًا فَقَالَ
Daripada Ibn 'Abbas radiallahu 'ahuma, beliau berkata: Aku berada di belakang Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, lalu baginda bersabda:
" يَا غُلاَمُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ
Wahai budak lelaki, sesungguhnya aku akan mengajar engkau beberapa perkataan. Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjaga engkau. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapatiNya di hadapan engkau.
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
Apabila engkau memohon, pohonlah kepada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah.
وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ
Ketahuilah, seandainya umat berkumpul untuk memberikan apa-apa manfaat kepada kamu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat kepada kamu kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tuliskan untuk mu.
وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ .
Seandainya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu, mereka tidak akan dapat memudharatkan kamu kecuali dengan apa yang telah Allah tuliskan untuk kamu.
رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ "
Pen-pen telah diangkat, lembaran-lembaran telah pun kering.
[Jami' At-Tirmizi, Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Raqaiq wa al-Wara', no: 2516. At-Tirmizi berkata hadis ini hasan sahih].
Dalam riwayat Ahmad disebutkan:
تَعَرَّفْ إِلَيْهِ فِي الرَّخَاءِ، يَعْرِفْكَ فِي الشِّدَّةِ
Perkenalkanlah diri kamu kepada Allah ketika kamu senang, nescaya Dia akan mengenali mu ketika kamu susah.
وَاعْلَمْ أنَّ فِي الصَّبْرِ عَلَى مَا تَكْرَهُ خَيْرًا كَثِيرًا،
Ketahuilah, kesabaran dalam perkara yang kamu tidak suka itu mempunyai banyak kebaikan,
وَأَنَّ النَّصْرَ مَعَ الصَّبْرِ،
pertolongan itu bersama-sama kesabaran,
وَأَنَّ الْفَرَجَ مَعَ الْكَرْبِ،
jalan keluar itu bersama-sama kesulitan,
وَأَنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
dan kesukaran itu bersamanya kemudahan.
[Musnad Ahmad, Musnad Ib 'Abbas, no: 2803]
Faedah hadis:
1- Maksud menjaga Allah ialah menjaga hak-hak Allah dengan mematuhi peraturannya, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
2- Begitu jua maksud memperkenalkan diri kepada Allah ialah melakukan ketaatan kepadanya ketika senang.
3- Ini semua menunjukkan kebersamaan khusus Allah bersama-sama mereka yang mentaatiNya. Kebersamaan umum iaitu pengetahuan Allah tentang manusia, meliputi semua orang. Akan tetapi kebersamaan khusus ini ialah perlindungan daripada Allah, dan bantuan daripada Allah.
4- Hadis ini juga menerangkan kelebihan mentaati Allah ketika kita dalam keadaan senang dan sihat, di mana antara balasannya ialah Allah akan membantu ketika kita memerlukan bantuan.
5- Hadis ini jua menunjukkan bagaimana hanya Allah yang berkuasa mutlak.
6- Apabila kita memahami bahawa Allahlah yang berkuasa mutlak, maka kita akan merasa selamat dibawah penjagaanNya yang kita akan perolehi dengan mentaati perintahNya. Ia jua akan mendorong agar kita berdoa kepada Allah, dan bukan kepada selainNya.
7- Hadis ini juga mengajar agar kita bersikap positif apabila menghadapi kesukaran kerana Allah akan memberikan jalan keluar kepada kita. Jalan keluar itu wujud apabila kita bersabar menghadapi dugaan.
#MMMR
-Ustaz Masri Ramli
No comments:
Post a Comment